Syed Hussein tokoh pemikir

Aug 13th, 2009 | By admin | Category: Artikel & Rencana

Oleh Nazmi Yaakub

IDEA tokoh pemikir Melayu, Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein al-Attas yang meliputi keintelektualan dan gejala rasuah dirincikan pada Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein al-Attas.

Pengkaji turut mengupas kesarjanaan Allahyarham dalam aspek pembangunan dan pemodenan, agama serta masyarakat pada seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Dewan Seminar DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar terbabit turut mengemukakan gagasan besar Syed Hussein dalam mengingatkan masyarakat sarjana dan umum terhadap tiga unsur yang boleh menghalang daripada tumbuhnya pemikiran yang berani, unggul dan berautonomi.

Prof Emeritus di Universiti South Wales, Australia, Dr Clive S Kessler, merumuskan tiga idea besar yang diwariskan Syed Hussein kepada bangsanya yang pernah dijajah, sekali gus menyifatkan idea itu menggambarkan mercu tanda pemikiran berani, unggul, berautonomi dan berdikari.

“Idea pertama ialah konsep feudalisme rohani iaitu menggambarkan golongan yang merendahkan diri kepada kuasa politik mutlak sehingga mewujudkan personaliti atau perangai lanjutan daripada sikap manusia zaman dulu yang sedia mengabdikan diri.

“Meskipun kita menghormati mereka yang unggul dan cemerlang dalam dunia moden, penghormatan keterlaluan menyebabkan kita sering tersungkur di kaki golongan manusia tidak berakal, memelihara kekerasan dan bersifat ganas seolah-olah binatang,” katanya ketika menyampaikan ucap utama Peranan Intelektual: Satu Penghormatan Ilmiah kepada Allahyarham Prof Syed Hussein al-Attas.

Prof Kessler, menganggap kesinambungan gaya fikiran feudal berjaya mencacat dan membelenggu autonomi, iaitu daya berfikir dan bergerak secara bebas dan matang sehingga Syed Hussein terdorong melahirkan idea mengenai masalah fikiran tertawan.

“Masalah fikiran tertawan merujuk kepada mereka yang tunduk kepada sikap feudalisme moden membina perangai dan fikiran yang cacat dan akhirnya melumpuhkan golongan pemikir sehingga menjadikan mereka tidak lebih daripada masyarakat yang hanya berfikir secara terang dan lurus

“Ini yang dialami kaum intelek dan cendikiawan dunia pasca kolonial dan mereka yang mengidap feudalisme rohani mengalami kehilangan daya hormat diri sehingga mengalami proses pengecutan personaliti bebas dan berautonomi, sekali gus mewujudkan proses ‘pengerdilan’ intelek,” katanya yang juga Profesor Kehormat di Universiti Monash di Melbourne dan Kuala Lumpur.

Lebih dibimbangi, gabungan feudalisme rohani dan fikiran tertawan melahirkan bebalisme yang dianggap Syed Hussein sebagai kebodohan serta kejumudan yang bukan biasa atau realiti daripada tabiat mahupun sifat manusia yang semula jadi.

“Bebalisme sebenarnya penyakit khas yang ada pada golongan yang berpendidikan dan terpelajar terutama pegawai tinggi pentadbiran negara, cendekiawan dan kaum intelek,” tegasnya.

Felo Pelawat, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, memperincikan minda tertawan kepada tiga bentuk sehingga menyebabkan cendikiawan mudah ‘berlutut’ di hadapan sarjana luar tanpa mengambil peduli kesarjanaan tempatan.

“Bentuk pertama ialah terpegun kepada kesarjanaan, pemikiran dan budaya dari Barat dengan sebahagian besar intelektual termasuk kepimpinan negara, senang bermegah dengan apa yang datang dari luar, khasnya Barat.

“Bentuk kedua pula, fenomena minda dan watak tertawan dapat kita kesan dalam keterpegunan melulu pada zaman dakwah bersemarak sejak 1970-an sehingga mudah terpegun pada ideologi gerakan dakwah seperti al-Maududi, Syed Qutb, Ismail Faruqi dan Mariam Jameelah,” katanya ketika melapah Menghadapi Watak dan Minda Tertawan: Pemerian, Penyanggahan dan Pemithalan daripada Syed Hussein al-Attas.

Bentuk ketiga pula dikatakan keterpegunan kepada rasa kenusantaraan yang romantis sehinggakan sejarah silam dimegah dan dijadikan imaginasi dengan segala sifat muluk, lalu feudalisme tidak dianggap sebagai masalah, sebaliknya diagung-agungkan.

Dr Azhar menyarankan minda dan watak tertawan itu dihadapi dengan mengemukakan kebebasan intelektual seperti diperlihatkan Syed Hussein yang membuktikan keyakinan dan harapan teguh pada pencerahan serta kesedaran melalui ilmu pengetahuan yang rasional, kritis, kreatif dan empatis.

Bagaimanapun, harapan Dr Azhar pasti terbantut sekiranya senario dan budaya yang menimpa sarjana tempatan tidak diubah seperti dikongsi Pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican ketika memperincikan Ilmu Kolonial dan Minda Tertawan dalam Sejarah Intelektual Melayu.

Prof Ahmad Murad membandingkan karya Syed Hussein dengan buku Edward W Said seperti Orientalism yang menjadi terkenal disebabkan kandungan dan hujahnya, selain diterbit, dipasar, diiklan, dijual, diedar, diulas, dinilai dan dibaca berkali-kali di universiti di Eropah dan Amerika Utara.

“Keadaan ini berbeza dengan karya Syed Hussein termasuk The Myth of the Lazy Native dan Intellectuals in Developing Societies dan Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer sudah tidak lagi dibaca, didebat dan diulas, walaupun oleh sarjana pasca kolonial di negara ini.

“Karya beliau sudah tidak diterbitkan lagi oleh penerbit tempatan dan tidak didapati di kedai buku kecuali the Myth of the Lazy Native yang diterjemahkan dengan judul Mitos Pribumi Malas,” katanya.

Mungkin ada sedikit harapan dalam mengangkat idea besar Syed Hussein apabila DBP menerbitkan tiga bukunya kembali, iaitu Intelektual Masyarakat Membangun, Mitos Pribumi Malas dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.

Leave Comment