Melentur kecenderungan akhbar bukan berbahasa Melayu
Aug 22nd, 2009 | By admin | Category: NasionalSEHARUSNYA dalam tempoh lebih setengah abad bangsa Malaysia merdeka, tiada lagi wujud prejudis dan sentimen perkauman berlebihan dalam kehidupan kita yang berbilang kaum ini.
Walaupun begitu, institusi seperti media dan pendidikan dilihat masih tidak berpimpin tangan dengan hasrat memupuk perpaduan rakyat negara ini.
Ini kerana akhbar-akhbar berbahasa bukan Melayu cenderung menyuburkan semangat perkauman dengan mengeksploitasi apa yang dipanggil hak dan kepentingan kaum serta kebebasan bersuara.
Oleh itu, cadangan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd, Datuk A. Kadir Jasin agar akhbar-akhbar itu dipantau wajar dilaksanakan segera.
Kenyataan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa akan mempertimbangkan penyiaran terjemahan akhbar-akhbar berbahasa Cina kepada khalayak juga amat disambut baik.
Malah penterjemahan laporan berita, lidah pengarang serta rencana tidak terkecuali akhbar berbahasa Tamil dan Inggeris juga dilihat sebagai pendekatan yang dapat dilakukan dalam memantau kecenderungan media bukan berbahasa kebangsaan ini.
Selain itu, dalam masa yang sama, ruangan khas atau sisipan untuk belajar bahasa kebangsaan perlu diwujudkan dalam akhbar bahasa Cina, Tamil dan Inggeris. Malah, boleh juga sebahagian laporan berita diadakan dalam bahasa kebangsaan.
Langkah tersebut dilihat dapat merapatkan jurang komunikasi antara pembaca akhbar berbahasa bukan kebangsaan dengan masyarakat Melayu serta meningkatkan semangat nasionalisme di kalangan bukan Melayu.
Ini penting supaya orientasi akhbar bukan berbahasa kebangsaan menepati konsep di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Akhbar bahasa Cina dan Tamil di Malaysia tidak patut berkiblatkan negara China atau India – sekiranya ada – kerana perkara itu boleh menyemai benih-benih perkauman.
Itu semua sama sekali tidak akan membantu hasrat kita semua untuk membentuk Satu Malaysia.
Kita tidak mahu wujud pihak yang bertindak sebagai batu api atau gunting dalam lipatan. Akibatnya buruk lantaran mengundang kemusnahan kepada seluruh rakyat di tanahair tercinta ini. Apabila hal itu terjadi tiada siapa yang untung. Sama-sama akan terbakar dan hangus!
Perlu ditegaskan, kaum Cina dan India juga akan menerima kesan buruk jika masyarakat Melayu yang sering diasak dengan cauvinisme kaum lain bertindak di luar kawalan.
Sikap mementingkan diri semata-mata hanyalah ‘api dalam sekam’ terhadap perpaduan rakyat lebih-lebih lagi dengan menjelangnya usia lebih separuh abad kemerdekaan negara.
Lantaran itu, nilai ekstrem tersebut harus dilupuskan. Media bukan berbahasa kebangsaan termasuklah penyiaran TV swasta digesa mengambil tanggungjawab sosial dengan mendahulukan kepentingan semua rakyat Malaysia bukannya kepentingan kaum sahaja.
Jika akhbar berbahasa Cina, Tamil serta Inggeris menyedari tanggungjawab itu, maka mudahlah kita mencapai perpaduan dan pembentukan Satu Malaysia dalam erti kata sebenar.


