Sastera wadah ampuh perpaduan

Aug 31st, 2009 | By admin | Category: Politik

Oleh Nazmi Yaakub dan Nurul Farina Nazlan bhsastera@nstp.com.my

Dibuktikan dalam perjuangan memerdekakan negara

SAMBUTAN Hari Kebangsaan hari ini diharapkan dapat mengangkat dan memartabatkan bahasa serta sastera pada peringkat antarabangsa, bukan sekadar laungan bersemangat atau sekadar mengibarkan bendera.

Ini kerana sastera yang memuatkan nilai murni khususnya patriotisme boleh menjadi wadah paling ampuh untuk menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini seperti pernah dibuktikan dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, mengharapkan Hari Kebangsaan menjadi titik tolak kepada agenda memantapkan pendidikan sastera di sekolah.

“Ia bukan saja untuk membantu dalam pendidikan bahasa, bahkan pendidikan akal budi generasi akan datang kerana maruah, watak dan keperibadian bangsa terletak pada bahasa, manakala nilai kemanusiaan dibentuk oleh agama dan budaya dengan sastera sebagai komponen penting,” katanya kepada Sastera ketika ditanya mengenai harapannya pada perayaan kemerdekaan negara ke-52 tahun ini.

Baha Zain menekankan kepentingan kerajaan meneruskan pendidikan kesusasteraan dengan pilihan teks yang tepat sama ada moden atau tradisional, sekali gus berupaya membentuk bukan saja masyarakat Melayu, bahkan menjadi akar kepada semua kaum di negara ini.

“Satu bahasa tidak boleh dipersoalkan lagi, tetapi pemilihan karya yang bertepatan seperti sastera klasik termasuk pantun yang tidak cenderung kepada apa juga bangsa, sebaliknya menekankan nilai dan budaya murni seperti budi, pengetahuan dan kemasyarakatan bersifat sejagat,” jelasnya.

Justeru, Baha mencadangkan Kementerian Pelajaran membentuk jawatankuasa yang berkepakaran untuk membuat pilihan tepat, selain agensi kerajaan melipatgandakan usaha untuk memancarkan kesusasteraan bangsa pada peringkat antarabangsa.

Beliau turut berharap perhubungan dalam konteks budaya dan sastera dijalin dan diperkukuhkan bukan saja dengan dunia Eropah, bahkan rantau Asia serta Amerika Latin kerana usaha sedia ada sudah terkebelakang.

“Kita perlu ingat bahawa akhirnya orang bukan saja mengukur bangsa, melalui kekuatan ekonomi dan ketenteraan, bahkan berdasarkan ketinggian dalam budaya intelektual termasuk kesusasteraan,” katanya.

Harapan Baha Zain turut dikongsi Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang juga Sasterawan Negara (SN), apabola beliau mengharapkan bahasa Melayu terus dimartabat dan diperkukuhkan sebagai wahana utama ilmu.

Selain wahana ilmu, penggunaan bahasa Melayu sebagai saluran komunikasi pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di negara ini perlu dipertingkatkan kerana ia berupaya menjadi bahasa perpaduan.

“Sastera Melayu pula perlu diangkat sebagai sebagai persuratan arus perdana negara dan diperjuangkan sehingga mampu bersaing di pentas global serta menembusi pasaran buku antarabangsa,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Chew Fong Peng, berkata kedudukan dan penguasaan bidang sastera dan budaya perlu didedahkan sejak di sekolah lagi kerana bidang itu sebenarnya membabitkan skop yang luas termasuk sains dan matematik.

“Kalau kita lihat, falsafah pendidikan negara ialah melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani dan intelek, sekali gus menunjukkan kesempurnaan falsafah terbabit, tetapi orientasi pendidikan kita kini lebih mementingkan nilai ekonomi sesuatu subjek.

“Era pendidikan negara kini lebih mementingkan sains dan teknologi sedangkan sejarah pembangunan serta kemerdekaan negara membabitkan tokoh yang terbabit dalam aliran sastera dan budaya seperti Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad (Za’ba) dan Ahmad Boestamam,” katanya.

Dr Chew mengingatkan semua pihak untuk tidak mengejar pembangunan negara saja sehingga mengetepikan kepentingan sastera dalam kehidupan kerana sejarah membuktikan kemerdekaan negara menjadi kenyataan 52 tahun lalu hasil daripada kesedaran daripada karya sastera.

“Walaupun kerajaan menggunakan pelbagai kaedah seperti Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas), tetapi pendekatan itu hanya ramuan tambahan sehingga kepentingan bahasa rasmi negara sebagai komunikasi negara terketepi kerana sikap kepada bahasa Inggeris,” jelasnya.

Pandangan Dr Chew itu diperkukuhkan oleh Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman yang menyarankan sastera dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah rendah kerana ada nilai kemanusiaan untuk diterapkan kepada pelajar.

Leave Comment