Kolum Baha Zain : PERGESERAN MALAYSIA-INDONESIA

Aug 31st, 2009 | By admin | Category: Artikel & Rencana

Pada bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diturunkan al-Quran dan kitab-kitab besar lain, dan satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran; bulan yang menyeru kepada kebaikan , kesabaran dan ketakwaan, sangatlah mendukacitakan apabila timbul sekali lagi protes dari sekelompok jiran tetangga di Indonesia terhadap Malaysia kerana dikatakan mengaku tarian “Pendet” Bali itu sebagai tarian Malaysia. Ia berpunca daripada tayangan iklan Pelancongan Malaysia.

Ini merupakan kes paling akhir; dan sebelumnya ada rentetan peristiwa lain seperti isu Batik, Keris, Sepadan, Ambalat dan malahan Nordin Mat Top. Nampaknya jahat sungguh Malaysia. Ada kira-kira tiga juta pendatang dari Indonesia di sini dan belum ada hotel diletupkan. Seorang Dr Azhari, dan kemudian Nordin menimbulkan huru hara yang tragis. Nah, akhbar Jakarta Post , 26 Ogos di Indonesia menyiarkan kontoversi dengan beberapa reaksi yang negatif daripada pembacanya. Berita Harian (Jumaat 28 Ogos) membawa berita tentang sebuah universiti di Indonesia enggan lagi menerima pelajar Malaysia kerana gara-gara tidak hormat terhadap kebudayaan kebangsaan Indonesia. Kenapa sampai begitu jauh sensitiviti dan reaksinya?

Kalau betul Malaysia menciplak dan mengaku apa yang bukan haknya, memang ini perbuatan yang tidak beretika dan harus minta maaf atas kesilapan. Hanya saya berasa dukacita kedua-dua jiran tetangga yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing, dan duduk di khatulistiwa yang sama-sama lembab dan dipukul terik matahari, menjunjung Islam sebagai agama utama majoriti rakyatnya; dan tentu sekali sama-sama dicabar oleh globalisasi
selain daripada asakan budaya Barat yang hemogenistik; kita patut saling memperkukuh dan membina kekuatan budaya kita atas semangat Nusantara dan ASEAN.

Semoga akal waras dan bijaksana daripada pemimpin di atas dapat meredakan pergeseran, terutama pada bulan Ramadan ini (penghulu segala bulan). Ingatlah Ramadan mencatatkan
sejarah besar peperangan Islam menawan kemungkaran seperti yang berlaku pada Perang Badar, Perang menakluk Sepanyol (Andalusia diperintah oleh Islam selama 800 tahun), dan Perang Ramadan atau Perang Yom Kipur pada zaman modern, antara Arab dengan Israel pada 1973.

Kalau Malaysia dan Indonesia melakukan kerjasama atau kolaborasi yang produktif, kita boleh sama-sama mengangkat maruah Nusantara di tengah-tengah dunia yang memandang rendah terhadap rakyat berkulit sawo matang yang menjadi penduduk asli Tenggara Asia ini. Ayuh! mari kita sama-sama duduk semeja, berbuka puasa, dan bersolat di depan Tuhan.

Saya sendiri mengharapkan teman-teman baik saya seperti bapak Goenawan Muhammad
dapat melebarkan pengaruh kata-kata intelektual dengan penawarnya di kalangan pembaca media di Indonesia, dan bapak Emha Ainun Najib yang menjelajah ke pelusuk hati dan daerah rakyat melalui saluran dakwah Kiai Kanjengnya dapat menyejukkan hati yang dipedihkan oleh mereka yang marah. InsyaAllah. Amin

Leave Comment