Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa

Sep 13th, 2009 | By admin | Category: Politik
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

 

NAMA sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain.

Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majmuk.

Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu?

Seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).

Ringkasnya, istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri Melayu. Fakta ini diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup.

Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beza di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

One comment
Leave a comment »

  1. Bersetuju dengan tulisan Dr. Ridzuan Tee. Itulah hakikat yang memang pahit untuk diterima sesetengah orang. Tetapi percayalah, kata-kata yang pahit itu ubat, manakala kata-kata yang manis itu racun – kata peribahasa Acheh.

Leave Comment