RENCANA Kunta Kinte: Tiru meniru buat celaru
Dec 3rd, 2009 | By admin | Category: Artikel & Rencana(diambil daripada Berita Harian Online)
KUNTA Kinte ‘tabik spring’ kepada Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim. Inilah jenis sarjana dan cendekiawan yang kita mahu dan yang kita betul-betul hormat.
Dalam Malaysia ni, mana ada orang yang berani kata apa-apa yang tidak baik mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil?
Tapi kalau puji kata SJK Cina bagus dan kata ramai kanak-kanak bukan Cina yang belajar di situ, ok lah. Lagi naik tocanglah mereka.
Kempen psikologi oleh peneraju SJK Cina, campur pula dengan perakuan media massa sebabkan semua pihak, termasuklah sesetengah orang Melayu, percaya yang SJK Cina lebih bagus daripada Sekolah Kebangsaan (SK).
Jadi bila seorang cendekiawan dan sarjana terkemuka daripada keturunan Cina macam Prof Khoo pertikai pencapaian SJK Cina, tentulah ramai yang melompat.
Kunta Kinte percaya bukan orang Cina saja yang melompat. Orang Melayu yang hantar anak ke SJK Cina pun melompat juga. Itu pun kalau mereka baca polemik dalam akhbar Cina yang Prof Khoo cetuskan.
Apa yang Prof Khoo kata yang masyarakat dan media massa Cina marah sangat tu?
Prof Khoo kata, SJK Cina hanya pandai atau mampu hasilkan kaki tiru atau dalam bahasa Inggeris ‘copycat’.
Dia buat kesimpulan itu dalam akhbar China Press sebagai respons kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin sebelum itu kata kerajaan bersedia anut sistem yang diguna oleh sekolah rendah Cina bagi mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains.
Boleh jadi betul sistem yang diguna oleh sekolah Cina lebih berkesan. Tapi pada pendapat Prof Khoo, sistem pendidikan Cina tidak melahirkan pelajar kreatif. Mereka hanya pandai menghafal dan meniru.
Bila diherdik, Prof Khoo cabar pencabarnya supaya menyanggah kenyataannya dengan mengemukakan fakta dan rekod sejarah. Dalam bahasa yang mudah, dia kata jangan cakap saja dan jangan emosi tak tentu hala.
Prof Khoo nak tahu berapa ramai pelajar sekolah Cina telah dibagi biasiswa kebangsaan dan berapa ramai pula jadi sarjana terkemuka sejak sekolah Cina diperkenal pada 1880.
Kunta Kinte tak berani nak cakap. Tapi daripada pengalaman Kunta Kinte bersekolah di sekolah Melayu dan Inggeris, budak-budak yang kuat belajar (studious) dan menghafal memang dapat markah tinggi.
Tapi mereka ni kurang kreatif. Macam kereta api. Jalan satu lorong saja. Tak banyak buat hal dan tak pandai tipu helah, tak macam geng yang duduk di belakang kelas dan mengurat guru pelatih ‘Day Training Centre’ (DTC).
Kalau masa saya, guru-guru pelatih perempuan DTC atau Pusat Latihan Harian, ramai yang comel-comel dan tua setahun dua saja daripada budak-budak Tingkatan Empat dan Lima.
Zaman Kunta Kinte, kalau berjaya atau mampu masuk sekolah menengah, majoriti masuk sekolah menengah Inggerislah. Sekolah menengah Melayu belum banyak.
Jadi di situ ada budak Melayu, Cina, India, Siam dan macam-macam lagi. Bila kita cakap Melayu atau Inggeris, bunyinya agak sama tak kira budak Melayu, Cina, India atau Siam.
Tapi hari ini, maaf cakaplah kalau kita cakap Melayu atau Inggeris dengan lepasan sekolah Cina, loghat mereka sama saja dengan pelajar atau pelawat dari negeri China. Bahasa Melayu dan Inggeris mereka bunyi lain.
Agaknya inilah hasil bila mereka diajar dan belajar cakap Inggeris sesama mereka menggunakan loghat Mandarin. Loghat Melayu mereka pun lain daripada pelajar Cina yang pergi ke sekolah kebangsaan. Mereka cakap Melayu loghat atau gaya Mandarin.
Kunta Kinte tak mahu sebut fasal SJK Tamil. Kunta Kinte pernah kena tuduh ‘racist’ (perkauman) bila Kunta Kinte sentuh sikit hal ini dalam New Straits Times lebih dua dekad dulu.
Bukan Kunta Kinte kata apa pun. Kunta Kinte hanya minta parti politik India dan masyarakat India jawab dengan ikhlas apakah potensi ekonomi dan intelek lulusan SJK Tamil. Itu saja.
Maaf cakaplah, oleh sebab Kunta Kinte belajar dan membesar dalam persekitaran pelbagai kaum, Kunta Kinte komited kepada idea iaitu sistem paling unggul bagi Malaysia adalah sistem satu sekolah.
Sistem di mana bahasa Melayu adalah bahasa perantara, bahasa Inggeris bahasa kedua dan bahasa ibunda diwajibkan ke atas pelajar Cina dan India. Pelajar bangsa lain dibagi kredit kalau mereka belajar Mandarin dan Tamil.
Jadi Kunta Kinta mintalah kepada Muhyiddin janganlah tergesa-gesa meniru mana-mana sistem tanpa lebih dulu mengkaji dengan sedalam-dalamnya. Maksudnya janganlah main tiru-tiru saja.
Kepada Prof Khoo, ‘tabik spring’ sekali lagi. Kunta Kinte hormat Tuan.


