Tiada lagi orang peduli sekolah satu aliran
Dec 3rd, 2009 | By admin | Category: Artikel & Rencana(diambil daripada Berita Harian Online)
Tentu SEDIKIT masa lalu, negara heboh dengan polemik sekolah satu aliran. Setiap hari ada saja individu memberi pendapat dan pandangan mengenai kebaikan idea itu sebagai usaha memupuk perpaduan kaum. Tidak kurang pula membantah dan tidak mahu perkara ini dibincangkan langsung.
Namun, dapat dirumuskan setiap orang mempunyai kebebasan bersuara dan hak itu digunakan dengan maksimum. Semuanya disimpulkan bahawa kita terlalu ego dengan kaum masing-masing.
Pendapat yang menyokong datangnya daripada cendekiawan dan ilmuwan yang nampaknya lebih pragmatik dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum yang sepatutnya dimulakan sejak peringkat kanak-kanak lagi.perkara ini hanya boleh dilaksanakan sementara kanak-kanak itu berada di bangku sekolah rendah lagi. Sudah agak terlewat jika penerapan perpaduan dilakukan ketika mereka meningkat remaja dan dewasa. Sudah 52 tahun kita gagal melakukannya dengan berkesan.
Bermula dengan cadangan Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, bukan sedikit ilmuwan, cendekiawan dan budayawan melontarkan sokongan terhadap idea itu kerana mereka melihat perkara ini secara positif dan tidak mempunyai kepentingan selain mahu melihat gagasan 1Malaysia menjadi realiti.
Kumpulan yang menentangnya pula adalah orang politik yang hanya melihat daripada sudut politik yang memberi pulangan kepada agenda politik mereka. Kumpulan terbesar yang membantah idea itu adalah pejuang politik kaum seperti DAP, PKR, MCA dan MIC.
Selain itu pertubuhan berasaskan kaum bukan Melayu seperti Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil. Semua individu dan pertubuhan ini mempunyai kepentingan dalam penentangan idea ini. Jika wujud sekolah satu aliran sudah tentu tiada lagi Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil.
Pemimpin politik pula tentu ingin menonjolkan diri sebagai jaguh kaum masing-masing. Matlamat mereka hanyalah untuk mendapat sokongan politik peribadi mereka bukan atas semangat nasional. Mereka menolak bulat-bulat idea itu tanpa mahu perbincangan lebih terbuka dan ilmiah. Mereka takut kehilangan identiti kaum masing-masing.
Bagi pihak kerajaan sendiri pula lebih ‘bersikap tunggu dan lihat’. Menunggu ketika sesuai dan melihat reaksi rakyat dalam perkara ‘sensitif’ ini.
Akhirnya, idea itu hilang begitu saja dan tiada siapa lagi membincangkannya sedangkan jika dilihat perkara ini, ia dapat dilakukan di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Sekarang tiada siapa lagi peduli dan bercakap mengenainya. Ia senyap begitu saja selepas kerajaan sendiri seolah-olah tidak berminat dan semua kaum memandang sepi idea yang bagus pada pandangan golongan ilmuwan, cendekiawan dan budayawan kerana orang ini tidak mempunyai sebarang kepentingan.
ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah.


