Agenda Liberal Melayu
Mar 3rd, 2010 | By admin | Category: Artikel & Rencanahttp://www.facebook.com/pages/Agenda-Liberal-Melayu/315406130921?ref=ts
Jema Khan
3 MAC — Apabila saya memulakan usaha untuk melahirkan gerakan Agenda Liberal Melayu di Facebook, sambutannya agak lembap. Dengan itu saya teringat lagu Fauziah Latif yang menjadi tajuk artikel ini.
Lagu ini memberi harapan kepada saya walaupun ia hanya bermula dengan satu cetusan kecil. Saya sedar ramai orang Melayu agak ragu-ragu dengan usaha memperjuangkan Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB untuk diterima dan dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia.
Namun saya tidak kecewa. Saya mendapat dorongan awal daripada beberapa Melayu liberal yang terkemuka yang bersama saya di halaman Facebook saya “Agenda Liberal Melayu”.
Yang ragu-ragu pula telah bertanya kepada saya, sama ada perjuangan hak asasi manusia (HAM) ini bertentangan dengan dasar Kerajaan. Mungkin mereka ini tidak sedar bahawa Malaysia sebenarnya sudah lama menandatangani perisytiharan hak asasi itu bersama kebanyakan negara anggota PBB.
Sememangnya wajib untuk kita semua memperjuangkan Persiytiharan HAM PBB yang antara lain menyatakan:
“Perisytiharan sejagat hak asasi manusia ini sebagai suatu ukuran bersama terhadap pencapaian oleh seluruh umat manusia dan kesemua negara dengan tujuan supaya setiap individu dan setiap badan masyarakat, dengan sentiasa mengingati Perisytiharan ini, hendaklah berazam melalui pengajaran dan pendidikan bagi memajukan sanjungan terhadap seluruh hak-hak dan kebebasan ini dan secara langkah-langkah berperingkat-peringkat, di bidang negara dan antarabangsa, bagi menjaminkan pengkitirafan dan pematuhan sejagatnya yang berkesan, kedua-duanya di antara negara-negara anggota masing-masing dan rakyat wilayah-wilayah di bawah bidang kuasa mereka.”
Pada pendapat saya, memperjuangkan HAM harus menjadi asas kepada Melayu liberal kerana ia akan mendekatkan kita bukan sahaja dengan rakyat Malaysia yang lain dari pelbagai agama dan kaum tetapi juga dengan warga dunia. Ia juga melambangkan sikap terbuka dan toleransi seorang liberal. Bila kita memberi ruang terbuka kepada orang lain, maka kita juga akan menikmati ruang itu.
Sebenarnya sikap dan budaya orang Melayu sememangnya halus, lemah lembut dan bertimbang rasa. Hati sanubari orang Melayu selalunya menunjukkan belas kasihan, malah ampun-mengampuni menjadi tabiat. Malah, saya berani katakana bahawa sifat-sifat mulia ini amat sesuai dan cocok dengan amalan HAM yang menghormati harga diri dan maruah insan.
Akan tetapi hari ini, apa yang digambarkan sebagai perjuangan Melayu telah mendapat pandangan serong, seolah-olah ia adalah usaha yang hanya dinakhodai oleh mereka yang berpandangan sempit dan tidak memberi ruang kepada orang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Tidak hairanlah jika ramai yang meninggalkan tanah air kerana menganggap diri dipinggirkan serta tidak mempunyai peluang saksama di negara sendiri. Lebih kurang 300,000 rakyat Malaysia telah meninggalkan negara sejak tahun 2008.
Ada juga suara sumbang yang menyatakan “biarlah mereka pergi”, tetapi kita jangan lupa bahawa hanya lebih kurang 1 juta rakyat Malaysia yang membayar cukai sedangkan kita mempunyai kakitangan kerajaan yang lebih daripada 1.2 juta orang, majoritinya orang Melayu. Apabila hasil kerajaan daripada wang Petronas berkurangan tidak lama lagi, di mana sumber untuk membiayai kakitangan kerajaan ini? Kalau ramai daripada mereka yang cerdik pandai dan lebih berupaya meninggalkan tanah air, sudah tentu Wawasan 2020 tidak akan tercapai sepenuhnya.
Apakah kita sudah terlambat untuk menjadi masyarakat yang lebih terbuka minda? Sebenarnya, saya merasakan selepas pilihan raya umum ke-12, rakyat sudah menjadi lebih matang dan terbuka. Malah Pas menjadi lebih liberal dan dapat berkerjasama dengan DAP. UMNO pun melalui Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan 1Malaysia yang bertujuan menunjukkan sikap terbuka Barisan Nasional.
Tetapi jelas bahawa apa yang tidak pernah belaku di Malaysia seperti pembakaran gereja-gereja, penghinaan terhadap orang Hindu dengan kes demonstrasi “kepala lembu” dan hukuman sebat terhadap gadis-gadis Melayu telah menggambarkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah masyarakat yang tertutup minda. Cakap tak serupa bikin.
Jadi memang ia akan mengambil masa untuk menarik perhatian kebanyakan orang Melayu ke arah sikap terbuka dan menyedari pentingnya amalan HAM. Tetapi, walaupun pada mulanya “aku sebutir pasir”, harapannya ialah “… lama-lamanya menjadi bukit”.
Saya mempelawa pembaca tidak kira kaum atau agama untuk bersama saya di halaman Facebook “Agenda Liberal Melayu” bagi memperjuangkan HAM demi negara tercinta kita semua.



LIberal bukan dalam ertikata “liberal ekstremis”. Kalau liberal yang diperjuangkan oleh Jema Khan, saya setuju, sebab nampak beliau memperjuangkan hak asasi manusia. Setiap manusia yang lahir di bumi ini tidak sama, dan setiap mereka mempunyai minat dan kehendak yang berbeza. Asalkan kehendak2 itu tidak memudaratkan, membahayakan atau memalukan orang lain, ia harus dibenarkan. Dengan itu saya juga sokong agenda Jema Khan. Hidup Sabah!