Sebat-Menyebat

Mar 3rd, 2010 | By admin | Category: Artikel & Rencana

Radzwill Hadrian

Menyebat wanita, itu isunya. Aku bukan ‘feminist’ atau pejuang feminism. Aku jantan, lelaki yang masih kuat, tegap dan mantap atas dan bawah. Sudah tentu aku mesti memenangkan golongan aku.

Kekadang perempuan memang tak habis-habis hendak memperjuangkan golongan mereka sahaja, apa jadi dengan hak-hak golongan lelaki, golongan bapa? Aku okay kalau wanita pun kena sebat, kata nak saksama. Takkanlah perempuan bab nak kuasa, nak harta, nak glamour nak sama rata, tapi bab tanggungjawab bab kena sebat, tarik diri pulak .

Tapi isunya ini bukan menyebat wanita. Isunya lain, isu yang orang makin tak nampak kerana kita gelojoh nak mengejar cita-cita syurga, kita lupa adab batas fitrah yang digariskan oleh Sang Pencipta.

Manusia inginkan kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. Manusia memang dijadikan Sang Tuhan berkehendakkan 4K itu. Siapa yang tidak mahu akan 4K itu dia bukan manusia, dia binatang barangkali ataupun hantu raya.

Jadi dalam melaksanakan hukuman sebat itu, beberapa persoalan perlu ditimbulkan agar 4K itu terpakai.

1) Terdapat jaminankah bahawa segala hukuman yang dicipta untuk manusia yang berdaulat ini saksama untuk semua kelas manusia tidak kira miskin kaya, berpangkat atau tidak?

2) Pelaksanaan hukuman ini adakah bercanggah dengan prosedur perlembagaan negara?

3) Adakah kehendak mewujudkan hukuman ini berdasarkan mesyurawah rakyat atau hanya kepentingan segelintir sekelumit manusia?

Kita tahu sejak dahulu lagi kebanyakkan undang-undang di Malaysia ini dilaksanakan untuk golongan miskin. Lihat sajalah, orang miskin bercermin kereta gelap ditahan, walhal kereta-kereta mewah dibiarkan.

Lihat sajalah, rumah-rumah tumpangan Cik Tong Yuen dan Cik Minah Sahab yang digeledah JAIS dan JAWI namun hotel-hotel mewah 5-6 bintang dibiarkan berdosa dengan pelacur-pelacur kelas atasan.

Lihat sajalah yang ditangkap minum minuman keras, hanyalah orang-orang miskin muka tempe, namun kita tahu yang duduk mahligai mewah jika minum di kapal-kapal terbang business class, party sini sana tidak ada satu manusia berkopiah/songkok dan berjanggut pun yang berani menahan mereka.

Selain itu adakah pewujudan hukuman sebat di dalam undang-undang syariah itu sealiran dengan undang-undang negara (Perlembagaan Persekutuan). Bukankah undang-undang jenayah itu adalah hak Persekutuan bukan hak negeri? Aku tidak kisah kalau ingin dilaksanakan, namun Perlembagaan Negara perlu digubal dahulu untuk membenarkan negeri menggubal sendiri undang-undang jenayah mereka.

Akhirnya, kita tahu isu sebat-menyebat ini, isu sebat menyebat syariah. Sebat-menyebat sivil tidak ada masalah. Kenapa kalau bab sivil tidak ada siapa membantah? Mereka tidak membantah keranan undang-undang sivil dilaksanakan melalui perwakilan rakyat (Parlimen dan DUN). Wakil-wakil rakyat berkumpul dan berbincang sama ada perlu atau tidak diwujudkan undang-undang untuk mengongkong kebebasan manusia. Dan apakah bentuk hukuman jika seseorang menentang kongkongan tersebut.

Namun jika undang-undang syariah, yang menentukan ialah Pak-Pak Bilal di pejabat-pejabat mewah. Mereka ini tidak dipilih rakyat. Bahkan kita tidak tahu siapakah mereka. Tup tup mereka membuat pelbagai peraturan mengharamkan itu dan ini dan jika melawan akan dihukum dengan kejamnya.

Kesimpulannya Sang Pemurah Pengasihani itu meletakkan 4K itu dalam sanubari manusia. Setiap perbuatan perlu melepasi ujian kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. 4K ini adalah timbang berat yang perlu sama berat. Jika terlalu bebas lalu tidak member keadilan kepada orang lain juga tidak boleh. Jika terlalu mengongkong tanpa sebab juga adalah salah.

Adakah undang-undang untuk sesuatu komuniti (hanya diguna pakai kepada orang Muslim sahaja) itu berlandaskan keadilan dan kesaksamaan? Sekeh kepala tanyalah minda.

Leave Comment