‘Halalkan’ sijil UEC jayakan 2Malaysia!
Mar 3rd, 2010 | By admin | Category: SensasiOleh ARIF ATAN
3 Mac 2010
Baru-baru ini telah berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa parti Barisan Nasional (BN). Antara hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak ialah kemungkinan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina atau Unified Examination Certificate (UEC).
Sudah semestinya, akhbar-akhbar vernakular menyambut baik langkah tersebut. Ruangan editor akhbar Sin Chew Jit Poh pada 27 Februari 2010 misalnya menyatakan “kali ini Najib sebagai Pengerusi Barisan Nasional bangkitkan kembali isu ini menunjukan pihak kerajaan peka dengan perkara ini”.
Sijil UEC pada dasarnya dikatakan setaraf dengan STPM tetapi tidak mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.
Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaiannya sendiri bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sekaligus tidak memenuhi dasar pendidikan kebangsaan. (Penerangan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat pada 15 Mei 2008)
Oleh itu, desakan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong sejak tiga dekad lalu agar kerajaan mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu benar-benar diteliti sebelum dipenuhi.
Langkah ‘menghalalkan’ sijil UEC sebagai ‘tiket’ masuk ke universiti tempatan dikhuatiri akan mendatangkan impak jangka panjang kepada kita semua.
Pertama, akan meningkatkan lagi jurang pendidikan yang kita alami selama ini. Ini berlaku apabila ibubapa yang telah yakin dengan pengiktirafan yang diberi sudah tentu berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke SMPC.
Pastilah bercanggah dengan semangat 1Malaysia yang kerajaan uar-uarkan. Di mana erti perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?
Kedua, akan muncul persaingan tidak sihat atas padang yang tidak rata. Umum maklum, sekolah Cina memiliki kemudahan jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan (SK) kerana mereka sebulat suara dan sekuat tenaga dalam hal melibatkan kepentingan pendidikan kaum mereka tanpa mengira status sosial dan fahaman politik
Oleh itu, langkah menerima sijil UEC sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA akan mewujudkan trend kemasukan lebih ramai lagi anak-anak kaum Cina malah kaum Melayu juga untuk memasuki SMPC selepas sahaja meninggalkan bangku sekolah rendah.
Apabila 60 buah SMPC yang sedia ada tidak dapat menampung pertambahan pelajar maka pasti akan ada desakan untuk menambah bilangan sekolah itu pula.
Persoalannya, apa akan jadi dengan SK sebagai platform awal kita memupuk perpaduan dan rasa kebersamaan bagi pembinaan negara bangsa?
Alasan seperti bahasa Mandarin penting kerana faktor ekonomi dunia hari ini bukan hujah tepat untuk mewajarkan penerimaan sijil UEC untuk ke universiti tempatan.
Kepentingan bahasa Mandarin sebagai nilai tambah telah disedari dan bahasa itu telah mulai diajar pun di SK.
Bahasa Mandarin itu dikuasai melalui subjeknya bukanlah sampai harus mengiktiraf sijil UEC! Ada beza antara kedua-dua entiti itu.
Tegasnya, ‘menghalalkan’ sijil UEC untuk ke IPTA hanya akan menggagalkan gagasan 1Malaysia sebaliknya menjayakan 2Malaysia! Cita-cita pembentukan negara bangsa dan perpaduan sebenar rakyat Malaysia nyata akan bertambah kusut dan mati!




Sampai bila hal sebegini nak selesai. Kerajaan kena bertegas atas desakan yang baik tapi berlawanan dengan citra nasional yang berpaksikan perlembagaan. Karut betul puak yang mendesak pengiktiran sijil sebegini.
orang melayu bab islam berdegar2 menulis (pada tulisan2 lain di blog ini) namun bab bahasa kebangsaan dan pendidikan kebangsaan, seorang sahaja yang balas.
Tahniah awangsoh